Log Masuk

Modul ini bertujuan menghuraikan Faham atau Konsep ‘Ilmu dalam Islam dan terdiri daripada tiga Bahagian. Pertama, “Hakikat, Sifat dan Piawaian ‘Ilmu” meneliti beberapa ayat al-Qur’ān dan Hadith-hadith Nabi berkaitan ‘ilmu; tujuan perolehan ‘ilmu; dan hakikat, sifat serta piawaian ‘ilmu. Kedua, “Saluran dan Lawan ‘Ilmu” kemudiannya menelaah punca ‘ilmu serta saluran-salurannya; hubungan antara ‘ilmu dengan hakikat-kebenaran; perbezaan antara ‘ilmu dan ma‘lumat; kaitan antara ‘ilmu, insan dan Tuhan; serta pelbagai penghalang dan lawan ‘ilmu khususnya, yang terbit tersebar dari Keperibadian dan Tamadun Barat, dahulu dan semasa. Ketiga, “Pengkelasan dan Pembudayaan ‘Ilmu” pula menjelaskan pembahagian ‘ilmu kepada pelbagai cabang dan tingkat; adab-adab terhadap ‘ilmu dan ‘ilmuwan; dan pemupukan Budaya ‘Ilmu. 

Modul yang terbahagi kepada tiga bahagian ini bertujuan menjelaskan ‘Alam Semesta sebagai Kitab Kejadian (al-kitāb al-takwīnī) dan seterusnya meninjau kesan kefahaman yang sedemikian itu terhadap hala-tuju pelbagai disiplin ‘ilmu dalam Masyarakat Islam, terutamanya Sains Tabi‘i (natural sciences). Pertama, erti ‘Ālam, Āyah dan Kitāb menelusuri dan mengamati lapangan ma‘na (semantic field) berkenaan ‘Alam Semesta yang terbit dari al-Qur’an dan al-Sunnah sebagaimana yang dihuraikan menurut Kerangka ‘Ilmu Islam. Kedua, jenis Āyat dan Tingkat ‘Alam kemudiannya menghuraikan kefahaman berkenaan: ‘Alam sebagai sasaran dan bahan pengetahuan (object of knowledge); ‘Alam Semesta sebagai ‘Alam Besar (macrocosm: al-‘ālam al-kabīr) dalam hubungannya dengan Insan sebagai ‘Alam Kecil (microcosm: al-‘ālam al-ṣaghīr); Barzakh sebagai ‘ālam al-mithāl dan penengah antara Dunia dan Akhirat; dan ‘Alam Semesta sebagai suatu Kitab yang turut mengandung Āyāt-āyāt Allah yang bersifat muḥkamat dan juga yang bersifat mutashābihat. Ketiga, kaedah utama Membaca ‘Alam pula menjelaskan pendekatan tafṣīr-ta’wīl sebagai kaedah utama Qur’anī dalam mengkaji dan meneliti ‘Alam Semesta demi untuk mencapai ma‘na dan kefahaman yang benar; dan peranan kefahaman yang sedemikian itu dalam pembasmian pensekularan sebagai ideologi pada dasarnya, dan pensekularan sains sebagai rantaiannya.

Modul ini menyentuh persoalan insan dan kebahagiaan dalam Islam. Ia membahaskan pelbagai isu berkaitan dalam tiga topik berikut: Pertama, hakikat penciptaan dan diri insan. Ia mengupas tentang awal kejadian insan, hakikat keruhanian dan hubungannya dengan jasad. Kedua, kewujudan insan dan matlamatnya. Persoalan tentang cabaran, matlamat dan tanggungjawab insan di dunia dalam kaitannya dengan asal penciptaannya akan diketengahkan. Faham-faham ini dikupas secara perbandingan dengan tradisi psikologi sekular Barat. Ketiga, hakikat kebahagiaan insan. Di sini faham kebaikan (virtue) dan kebebasan (freedom) yang semuanya kembali pada diri, sifat, dan perlakuan insan dihuraikan secara yang bertentangan dengan lawannya – iaitu kesengsaraan (al-shaqāwah) yang berkemuncak pada tragedi sebagaimana yang dima‘nai dan dialami dalam Tamadun Barat, baik yang purba mahupun yang moden-sekular. Ma‘na kebahagiaan insan yang Islami dikupas sebagai asas penilai terhadap pelbagai faham kebahagiaan selainnya.

Modul ini terbahagi kepada tiga bahagian. Pertama, perbahasan meliputi latar belakang pertentangan antara agama dan sekularisme di Barat, sekularisasi agama Kristian dan kekeliruan perbahasan dalam bidang kajian agama dan sains kemasyarakatan, serta isu-isu pemikiran yang berkaitan dengan agama. Kedua, perbahasan mengenai ma‘na agama dalam Islam meliputi semantik istilah al-Dīn, kepentingan Perjanjian Asali (al-mīthāq) sebagai teras agama, faham penyerahan dan penyembahan, penjelmaan agama di peringkat diri insan (‘ālam ṣaghīr) dan di luar (‘ālam kabīr). Ketiga, peranan Wahyu, kaitannya dengan Qur’an dan Sunnah, peranan al-Qur’an sebagai Tanzil terakhir, hakikat Kalāmullāh, kesejagatan Rasulullah sebagai rahmat Tuhan dan uswah ḥasanah serta kekeliruan mengenai kedudukan Rasul.

Modul ini mencakup tiga bahagian; Pertama, cabaran dan kepincangan sistem pendidikan sekular yang gagal menghasilkan persediaan yang mencukupi bagi seseorang untuk melaksanakan tanggungjawabnya sebagai seorang insan, berlakunya kejatuhan pada martabat keinsanan, tidak menekankan soal adab dan budi-pekerti. Kedua, takrifan dan matlamat utama pendidikan dalam Islam yang menjadikan seseorang itu menunaikan tanggungjawabnya kepada Allah sebagai Tuhannya Yang Sebenar, memahami dan melaksanakan tanggungjawabnya kepada dirinya sendiri dengan adil dan, berusaha untuk mengislahkan keadaan hidup masyarakat sehingga masyarakat itu akhirnya tahu membezakan antara perbuatan dan kelakuan yang baik dengan yang buruk. Ketiga, elemen-eleman teras dalam konsep pendidikan Islam yang mencakup ‘ilmu farḍ ‘ayn dan ‘ilmu farḍ kifayah; hikmah, adab, dan ‘adil, hakikat insan dan budi-pekerti.

Lebih banyak artikel..

Pengenalan

Pengenalan

Latar Belakang dan Sejarah Wacana Pandangan Alam Islam
Pensharah

Pensharah

Tenaga Pengajar yang Berwibawa
Perbahasan

Perbahasan

Modul dan Perbincangan Faham-faham Penting Islam

Penganjur

Logo Hakim
Logo Tadib
Logo Dewan Bahasa Dan Pustaka